Moral Kukuh Akhlak Utuh

Khutbah Pertama:

Sidang Jumaat yang dimuliakan:

Marilah kita bertaqwa kepada Allah, mudah mudahan kita semua akan mendapat rahmat Allah dan selamat dalam pertemuan kita di hari pengadilan nanti. Kita juga berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan beriman dan tetap teguh berpegang dengan ajarannya.

Di zaman ICT ini, terdapat berbagai-bagai jenis kumpulan belia Islam, sama ada di kota, di bandar atau di kampung, mereka amat berminat berkumpul, berborak-borak di pusat membeli belah, di panggung wayang, di stesen bas atau di pinggir jalan. Terdapat berbagai-bagai aksi seperti bergurau senda, dan mengacau gadis-gadis dan mereka yang lalu lalang. Apa yang lebih dahsyat lagi terdapatnya pasangan teruna dan dara berpakaian menjolok mata, malah ada juga gadis yang merokok.

Kelakuan mereka tidak ubah seperti pelancong asing yang datang ke nagara kita. Apa yang ditakuti, para remaja tadi terdedah kepada gejala yang tidak sihat seperti amalan penagihan arak, dadah, dan lain-lain lagi. Manakala bagi golongan gadis-gadis Islam ditakuti terjerumus ke lembah maksiat dan pelacuran.

Kenapakah fenomena-fenomena tersebut amat senang menular di kalangan remaja Islam kita? Berpandukan kepada kajian, berikut dinyatakan faktor-faktornya:

Pertama: Kebanyakannya, para belia bebas keluar dari rumah, serta berkawan tanpa adanya kawalan. Sesetengah ibu bapa pula suka berleter dan selalu menyalahkan si anak. Manakala sebahagian ibu bapa seringkali tiada di rumah, ditambah pula dengan suasana rumahtangga yang tidak teratur lagi membosankan. Anak-anak tidak diberi pendidikan agama dan akhlak yang baik.

Kedua: Keluarga tidak mengatur apa-apa perancangan untuk mewujudkan kemesraan, baik di dalam rumah atau pun di luar rumah.

Ketiga: Masyarakat jarang menganjurkan aktiviti yang berfaedah untuk keluarga belia dan beliawanis.

Berikut digariskan cara-cara berkesan untuk mengatasi budaya yang tidak sihat:

Pertama: Para ibu bapa mestilah mengawasi setiap gerak geri si anak. Anak-anak tidak harus dibiarkan keluar bebas dan berkawan dengan sembarangan orang. Dalam masa yang sama, ibu bapa sepetutnya menyediakan suasana mesra di antara anak-anak. Mereka juga mestilah menyediakan ruang yang selesa dan menarik di rumah.

Kedua: Ibu bapa mestilah memberi didikan agama dan mengajak mereka menghayati ajaran Islam dalam kehidupan harian. Adalah lebih baik, si ibu bapa menunjukkan contoh teladan yang terbaik dalam soal tersebut. Bagi para remaja mereka mestilah sedar bahawa perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam merugikan diri mereka, keluarga, mesyarakat malah negara kita sendiri.

Sabda Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dengan maksudnya:

“Dua nikmat kebanyakan manusia tidak dapat menilai dengan wajarnya, kesihatan dan kelapangan masa”.

Ketiga: Para ibu bapa haruslah membawa anak-anak mereka keluar rumah (berkeluarga) bagi tujuan menziarahi saudara mara, berkelah atau melawat taman rekreasi atau seumpamanya.

Keempat: Ahli jawatankuasa kampung dan ahli jawatankuasa masjid/surau hendaklah menganjur aktiviti-aktiviti melibatkan para belia dan beliawanis seperti mangadakan majlis-majlis ceramah agama/forum, menganjur pertemuan-pertemuan bagi mengeratkan tali silaturrahim di antara mereka. Kakitangan masjid sepatutnya menyimpan data-data para remaja dan bertindak bergaul mesra atau memberi kaunseling atau khidmat masyarakat kepada anak-anak muda.

Andainya para belia dapat menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas, maka masalah budaya-budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam akan dapat diatasi. Akhirnya, akan muncul generasi remaja yang mantap dan berdaya saing disamping berakhlak dengan akhlak yang terunggul.

Firman Allah di dalam surah Al-Qalam, ayat 1 hingga 4 dengan maksudnya:

“Nun, demi pena dan apa yang mereka tulis, engkau (wahai Muhammad) dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu, bukanlah seorang gila (sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik, bahkan engkau adalah seorang seorang yang bijaksana). Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus, (sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam). Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia”.

Khutbah Kedua:

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah supaya kita selamat dihari perhitungan amal nanti. Mudah-mudahan kita dimatikan dalam keadaan beriman kepada Allah. Agama Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh umat.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Manusia telah diciptakan oleh Allah adalah untuk mengabdikan kepada-Nya serta mengimarahkan bumi ini dengan cara yang terbaik dan bukan pula melakukan kerosakan yang boleh meporak perandakan keharmonian manusia yang menghuni dunia ini. Allah telah memberi amaran keras kepada seluruh manusia agar menjadi manusia yang boleh memakmurkan bumi dan bukan golongan yang hanya pandai mengambil segala nikmat anugerah Allah tetapi telah menyalah gunakan nikmat tersebut dengan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah.

Sidang Jumaat yang berbahagia.

Marilah kita berusaha untuk mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah dengan mengerjakan seluruh perintah Alllah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Iman yang ada pada setiap manusia akan bertambah dan berkurang. Bergantung kepada amalan baik dan buruk perlakuan kita, yang lebih besar kewujudan kita itu ialah untuk mengkui hakikat Tuhan yang sebenarnya iaitu lah Allah, Tuhan yang Esa.

Sedarkah kita yang kita sudah tiada masa lagi? Saban hari kita menyaksikan kematian yang menimpa saudara kita. Suatu hari nanti pasti tiba giliran kita pula akan dijemput untuk bertemu dengan Allah yang Maha Perkasa. Kematian sentiasa mengejar dan membayangi kita di mana sahaja kita berada. Firman Allah di dalam Al-Quran surah An-Nisa ayat 78 dengan maksudnya:

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekali pun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: ‘Ini adalah dari sisi Allah’, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: ‘Ini adalah diri (sesuatu nahas) yang ada padamu’, katakanlah (wahai Muhammad): ‘Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah’. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?”

Setiap manusia akan pergi untuk selama-lamanya menuju ke alam akhirat dan akan diiringi 3 perkara iaitu hartanya, keluarganya dan amalannya. 2 perkara akan pulang meninggalkannya dan yang akan kekal bersamanya ialah bekalan taqwa untuk dipersembahkan kepada Allah. Mudah-mudahan Allah merahmati kita dan memasukkan kita bersama-sama dengan para anbiya’, solihin dan syuhada.

Sidang Jumaat yang dikasihi.

Marilah kita pada hari Jumaat yang mulia ini, kita memperbanyakkan bacaan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W bersesuaian dengan Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas junjungan nabi, maka wahai orang-orang yang beriman, ucaplah selawat dan salam ke atasnya dengan sebaik-baiknya. ”

Sekian, wassalam.

This entry was posted in Siri Khutbah. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s